Tiada lagi laporan di surat khabar wanita mati kerana haid. Di Malaysia, wanita tidak perlu tidur di luar rumah kerana haid. Kita tidak mengamalkan tradisi kuno Chhaupadi seperti di Nepal yang menindas wanita dan memaksa mereka mengasingkan diri dari komuniti sehinggakan wanita tidak boleh turut serta dalam sebarang aktiviti setempat ketika sedang haid.
Namun begitu, masyarakat di Malaysia masih mempunyai stigma tentang haid yang sering disinonimkan dengan “tidak suci” dan “kotor”. Kita tidak melihat haid sebagai ruang menstruasi wanita yang perlu dipentingkan bersama. Kita tidak berfikir bagaimana keadaan wanita-wanita yang tinggal di bahu jalan menguruskan haid mereka?
Berdasarkan statistik 2016 di laman rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah gelandangan pada 2013 mencatatkan sebanyak 1,048 orang iaitu terdiri daripada 730 orang lelaki dan 318 orang wanita. Jumlah ini terus meningkat pada 2014, sebanyak 1,469 orang (988 lelaki dan 481 wanita), dan terus mencatatkan peningkatan kepada 1527 orang pada 2015 (1,003 lelaki dan 524 wanita).
Saban tahun, jumlah komuniti jalanan akan terus meningkat malah yang membanjiri kaki lima untuk mengambil sumbangan makanan juga rata-ratanya keluarga miskin bandar yang mempunyai rumah dan pekerjaan.
Tidak terbayangkah kita selain berdepan dengan kemelut kemiskinan dan kesukaran menguruskan haid, rakan jalanan wanita terutamanya juga lebih berisiko dengan ancaman rogol? Malah lebih ironi, pada 2020 ketika dunia sedang mengejar revolusi industri 4.0 dan internet 5G kita terpaksa bercakap tentang kemiskinan haid?
Lebih mengerikan, kita tidak sedar pun ianya berlaku di Malaysia. Ini bukan cerita di India, Kenya, Uganda, Senegal, Kemboja, Filipina mahupun Vietnam tapi Malaysia.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku?
Jika kita Google “kemiskinan haid di Malaysia”, paparan yang keluar laporan Berita Harian tentang kerajaan United Kingdom yang melancarkan dana RM10.7 juta untuk selesaikan isu kemiskinan haid secara global. Jangan pelik kerana kemiskinan haid juga berlaku di negara-negara kelas pertama misalnya UK. Malah di Scotland, hampir RM28 juta dilaburkan kerajaan untuk menyediakan produk-produk haid secara percuma di sekolah, kolej dan universiti seluruh negara dan memberi manfaat kepada kira-kira 395,000 orang.
Saya juga pelik kerana kajian-kajian yang saya rujuk adalah dari luar sedangkan isu kemiskinan haid juga berlaku di Malaysia. Sama ada kajian memang tidak pernah dibuat atau sebenarnya sudah tapi terperap di kampus-kampus elit. Ia tidak dibincangkan di ruang awam, malah isu kemiskinan haid ini juga tidak pernah dibentangkan di Parlimen.
Merujuk respon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat – “kami tidak ada data” – ketika ditanya berkaitan pelajar di Kelantan yang tidak ke sekolah kerana kemiskinan haid, saya rasa saya naik hantu. Sudah ada kajian yang dibuat Oh Bulan (bawah seliaan Dr Nur Aizati Athirah Daud, Veronica GK Williams, Zuraidah Daut dan Zaharah Sulaiman) di sebuah sekolah di Kelantan, melaporkan 41.8% iaitu 40 orang dari 172 pelajar tidak ke sekolah semasa datang bulan.
Barangkali jumlah anak-anak perempuan yang tidak ke sekolah kerana tiada tuala wanita untuk dipakai juga tinggi tapi hal ini tidak pernah dikedepankan. Darah saya mendidih apabila memikirkan anak-anak yang tidak ke sekolah akan cenderung “dikahwinkan” dan mengandung bawah umur. Tidaklah mustahil ini penyumbang faktor mana-mana kerajaan negeri yang menolak pinda had umur kahwin.
Kemiskinan haid boleh menyebabkan jenayah seksual berlaku. Ini bukan isu kelakar, bukan juga isu perempuan, bukan tentang haid itu kotor, bukan juga tentang orang miskin perlu produktif dan jangan malas. Kemiskinan haid jauh lebih kompleks: akses kepada air bersih dan sabun, pendidikan penggunaan jenis tuala wanita, pendidikan pengurusan haid, pendidikan tentang pendidikan seks, inovasi pelupusan produk haid yang mesra alam sekitar, semua ini yang harus diangkat.
Jika ada anak-anak yang sampai tidak ke sekolah kerana datang bulan (dan tiada tuala wanita untuk dipakai), ini yang harus disuarakan. Rakan jalanan wanita pula yang lebih terdedah dengan jenayah seksual dan tiada ruang privasi untuk menyalin tuala wanita, ini yang harus kita bisingkan.
Kerja-kerja kesedaran untuk memecahkan budaya dan stigma masyarakat tidak memadai hanya dengan memberi sumbangan tuala wanita. Kemiskinan haid melibatkan semua pihak dan semua orang patut marah dan bercakap tentang ini.
#PEDULIMERAH
Kempen ini mula dilancarkan Gerak Malaysia pada 22 Disember 2019, dan selama hampir sebulan kempen dijalankan kami menerima lebih 700 respon dari orang ramai. Kami ingin mendapatkan maklum balas umum terhadap komuniti yang terjejas termasuk rakan jalanan wanita, warga B40 miskin bandar, anak-anak sekolah, warga tanpa dokumen, pelarian, Orang Asli dan semua kelompok yang menghadapi kemiskinan haid.
Sebanyak 60.3% iaitu seramai 448 orang tidak tahu kemiskinan haid berlaku di Malaysia. Malah ramai fikirkan sangat tidak logik jika ada wanita yang rela mengandung setiap tahun supaya tidak perlu datang bulan kerana tidak mampu tanggung kos bulanan produk haid. Ini adalah realiti yang berlaku pada warga tanpa dokumen terutama di perkampungan air di Sabah. Kebanyakan anak-anak hanya minum air masak bukan susu formula. Malah anak-anak tidak di hantar ke sekolah kerana tidak mendapat akses kepada pendidikan formal, anak-anak dibiasakan kerja menyara diri.
Barangkali ini berlaku juga di perkampungan Orang Asli, malah mungkin juga di bandar tapi kita sahaja yang tidak tahu. Kerana kemiskinan haid sangatlah tabu dan tidak penting dan ini harus kita ubah sekarang.
Mari bersama kami gerakkan kempen #PEDULIMERAH, setiap cadangan dan maklumbalas anda sangat penting. Kita mahu semua orang bercakap tentangnya.
Nursyuhaidah A Razak ialah pengasas Gerak Malaysia.
Disiarkan oleh Free Malaysia Today.