PETALING JAYA: Kemiskinan haid bukan semata-mata ketidakupayaan mendapatkan tuala sanitari namun turut melibatkan aspek lain yang tidak diberikan perhatian, kata pengkaji. Ahli akademik, Dr Fatimah al-Attas berkata, aspek itu hanya meliputi 1/4 bahagian daripada perbincangan sebenar permasalahan tersebut.

Tegasnya, elemen lain seperti akses kepada air bersih, sabun atau produk kebersihan di tandas awam dan ilmu pengurusan haid perlu diberikan perhatian segera untuk membantu meningkatkan kesedaran berhubung isu itu.

“Untuk kerja kesedaran ke depan, kita mahu semua orang bercakap tentang isu ini. Ini bukan isu wanita sahaja tapi melibatkan semua pihak,” katanya ketika dihubungi FMT.

Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila individu perempuan atau keluarga tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan. Perkara ini mula mendapat perhatian beberapa pihak di Malaysia, terutama NGO dan aktivis masyarakat.

Ini susulan laporan yang mendedahkan segelintir pelajar perempuan tidak hadir ke sekolah sepanjang tempoh haid dan ketinggalan dalam pelajaran.

Bahkan, terdapat wanita yang memilih untuk mengandung kerana mahu mengelakkan kedatangan haid selama 9 bulan.

Kata Fatimah, golongan yang menjadi sasaran kempen kesedaran kemiskinan haid adalah golongan gelandangan, wanita di kawasan pedalaman dan kelompok terbaru, iaitu golongan miskin kota.

Meskipun sudah banyak kempen kesedaran dijalankan, namun menurutnya, kajian yang boleh membawa kepada penyelesaian kemiskinan haid masih rendah.

“Kita tidak mempunyai statistik untuk permasalahan ini. Kemiskinan haid masih belum dikaji dan diteliti dengan baik. Kita tidak tahu dengan tepat, berapa banyak yang terjejas dan kawasan mana yang paling banyak terkesan daripada isu ini.”

“Tetapi apa kita tahu, sudah ada beberapa penanda,” katanya dengan bahawa menambah kedua-dua kawasan luar bandar dan bandar turut terjejas oleh fenomena kemiskinan haid.

Dalam pada itu, aktivis GERAK Malaysia (Gerak) Nursyuhaidah A. Razak berkata, pihaknya masih tertanya-tanya apakah yang berlaku mengenai laporan dan data kemiskinan haid di negara ini.

Menurutnya, setiap kali carian dibuat di internet tentang isu tersebut, hanya ada satu paparan oleh media tempatan.

Bahkan katanya, laporan itu menyebut tentang usaha kerajaan United Kingdom (UK) melancarkan dana sebanyak RM10.7 juta untuk menyelesaikan kemiskinan haid.

“Saya pelik mengapa kajian yang kita rujuk datang dari luar, sedangkan isu ini juga kritikal di Malaysia.

“Ini menunjukkan sama ada kajian memang tidak pernah dibuat atau sudah dibuat, tetapi terperap di universiti,” katanya ketika dihubungi FMT.

Gerak merupakan usaha kolektif oleh sekumpulan anak muda yang terdiri daripada ahli akademik, aktivis mahasiswa dan sukarelawan dalam menjalankan kempen dan kerja-kerja sosial di Malaysia.

Pada November lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh dilaporkan berkata, pihaknya tidak memiliki data terperinci mengenai laporan remaja terpaksa ponteng sekolah kerana terlalu miskin untuk membeli tuala wanita atau tampon.

Beliau juga berkata, kementerian sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengetahui sejauh mana fenomena kemiskinan haid berlaku di Malaysia selepas media melaporkan perkara itu tahun lepas.

Sementara itu, Fatimah berkata andaian bahawa haid sebagai perkara yang memalukan dan tidak boleh disebut di hadapan khalayak turut menjadi penyumbang kepada masalah tersebut.

Jelasnya, gadis kurang berbincang tentang kebersihan haid dan menstruasi tetapi lebih banyak mendengar rasa malu tentang “datang bulan”.

“Rasa malu mengenai haid membataskan banyak perbincangan yang diperlukan. Hal ini bukan sahaja menjejaskan wanita, bahkan juga lelaki.

“Kita perlu menghapuskan rasa malu ini sebelum kita dapat memulakan perbualan lebih luas tentang kemiskinan haid.”

FMT sedang mendapatkan data terkini daripada KPWKM dan KPM berhubung perkara ini.

Dilaporkan oleh Free Malaysia Today.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: