CERITA I

Keluarga saya pernah berada dalam keadaan sukar. Adik-beradik ramai perempuan. Memang mak saya pening kepala nak beli tuala wanita setiap bulan. Tapi, mak juga tak mampu nak sediakan kain pengganti tuala wanita. Kami tinggal di flat. Nak sidai baju pun bersusun lapis sebab basuh baju kami 9 beranak setiap hari.

Mak buat macam-macam kerja – menjahit, mengasuh budak, ambil upah memasak – untuk bantu ekonomi keluarga. Dalam kira-kira emak setiap bulan, perkara yang wajib dibeli ialah beberapa bungkusan besar tuala wanita paling murah untuk empat perempuan dalam keluarga kami.

Seorang daripada kami pula mengalami haid hampir 15 hari dengan darah yang sentiasa melebat – dia ada masalah dengan kedudukan ovarinya. Maka, tanggungan emak umpama 5 orang perempuan.

Itu pun, emak sentiasa meminta saya berjimat menggunakan tuala wanita, supaya kira-kira bulanan penggunaan tuala wanita tidak tersasar.

Saya akur, maka pada hari kelima, keenam dan ketujuh datang haid, saya hanya memakai dua tuala wanita sehari – satu siang dan satu malam.

Saya masih beruntung kerana emak mampu berikhtiar dan ayah bergaji bulan.

Cerita II

Emak saya tidak datang haid selama 12 tahun, iaitu sejak kali pertama mengandung. Sayalah anak sulung itu. Adik saya, dilahirkan kurang setahun selepas saya dilahirkan (kami berkongsi bulan kelahiran). Selepas itu, adik-adik yang seterusnya lahir sebelum adik sebelumnya genap 2 tahun.

Adik-beradik saya 7 orang. Kesemua adik saya diberikan susu badan. Hal inilah yang menyebabkan mak tidak datang haid. Selama 12 tahun, mak tak lagi menyimpan, apatah lagi membeli tuala wanita.

Selepas kelahiran adik bungsu, dan atas nasihat doktor, emak mengikat kedua-dua saluran peranakan. Apabila adik bungsu berusia dua tahun, ketika itu, saya berusia 12 tahun, barulah haid emak kembali.

Kali pertama saya datang haid, mak cik yang tinggal bersama-sama kami memberikan tuala wanitanya. Setelah itu, barulah emak memasukkan tuala wanita sebagai barang wajib beli setiap bulan. Lagipun, adik kedua saya pun datang haid pada tahun yang sama.

Selama 12 tahun emak tidak membeli tuala wanita dan tiba-tiba tiga orang perempuan dalam keluarga kami datang haid. Saya tidak tahu reaksi emak. Tapi, saya tahu emak mula susah hati apabila mendapati haid adik yang begitu lebat.

Sejak itu, emak membeli tuala wanita dengan jenama paling murah di sebuah pasar raya di Chow Kit. Setiap bulan, saya ikut emak berbelanja dan membantunya mencebet beberapa beg plastik. Satu daripadanya dipenuhi oleh 4 – 5 pek tuala wanita.

Oleh Xelora Dian.


Xelora Dian merupakan seorang perempuan yang dibesarkan di rumah flat dua bilik; yang menelaah pelajaran di atas katil dua tingkat bahagian atas dan bertemankan buku teks sebagai bantal.

Kisah pengalaman kemiskinan haid ini disiarkan dengan kebenaran pengirimTidak dibenarkan sama sekali menyiar ulang tanpa kebenaran.


Disiarkan oleh: Nursyuhaidah A Razak

Pengurus Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: