Suara Empuan merupakan siri wawancara oleh Peduli Merah bertujuan mengangkat pengalaman perempuan yang sering diremehkan. Moga siri ini dapat memberikan keberanian dan maklumat asas kesihatan kepada pembaca. Ikuti siri wawancara bersama Shakila Zen yang mengalami penyakit Left Ovarian Cyst with Adhesive Colic.


Shakila Zen ialah seorang aktivis alam yang tanpa maaf bersuara tentang hak alam sekitar untuk tidak diperlakukan sesuka hati oleh manusia yang candu kekuasaan.

Berumur 29 tahun, Shakila ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) Perhubungan Awam. Beliau juga merupakan Pegawai Media Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).


Peduli Merah: Boleh kongsikan pengalaman haid saudari? Seawal umur berapa datang haid? Bila dan bagaimana mula sedar bahawa saudari mempunyai masalah haid? Apakah simptom utama yang saudari hadapi?

Shakila Zen: Dalam keluarga yang mempunyai empat beradik perempuan, saya merupakan adik beradik yang paling awal mencapai “usia matang”. Saya datang haid pada umur 11 tahun atau darjah lima. Dari awal mendapat haid, memang saya kerap senggugut dan mengalami masalah seperti kembung, muntah muntah dan sebagainya apabila datang bulan. Abah saya merupakan sosok yang paling rajin membawa saya berjumpa dengan doktor mahupun membelikan ubatan tradisional untuk mengurangkan sakit senggugut saya. Ibu selalu beritahu yang senggugut adalah perkara normal ketika datang haid. Jadi saya tidak begitu ambil peduli dengan sakit yang kerap.

Saya mula mengambil berat tentang isu berkaitan haid ketika saya berumur 25-26 tahun kerana saya sudah memiliki kebebasan kewangan dan boleh pergi ke klinik sendiri. Pada mulanya, doktor yang saya temui juga menafikan saya mempunyai masalah berkaitan haid dan memberikan ubatan untuk gastrik kepada saya tetapi kesakitan ketika haid tidak pernah berkurang.

Simptom yang paling ketara adalah senggugut luar biasa ketika haid. Senggugut saya boleh berlanjutan sehingga hari ketiga atau keempat semasa datang haid. Darah yang keluar juga berketul-ketul dan banyak sehingga kadang mencapai 10 hari (ada hari darah berhenti dan sambung semula). Saya kerap muntah dan lemah ketika haid juga sehinggakan kerap mengambil cuti sakit ketika haid. 

Peduli Merah: Adakah stigma masyarakat tentang haid mempengaruhi keputusan untuk mendapatkan rawatan?

Shakila Zen: Ya, stigma masyarakat mempengaruhi keputusan untuk mendapatkan rawatan. Kita selalu diberitahu bahawa anak gadis tidak perlu melakukan ujian tentang kesuburan atau berkaitan kesihatan organ wanita kerana hal tersebut cuma untuk wanita yang sudah berkahwin. Akses untuk anak gadis mendapatkan rawatan berkaitan dan tidak mendapat pandangan serong orang keliling juga sangat langka.

Apabila rakan rakan dan juga mak cik mendapat tahu tentang saya perlu bergantung dengan ubat perancang kehamilan untuk tujuan pengecilan cyst, keadaan makin tidak terkawal. Mereka memandang serong dan mula mengeluarkan cerita yang tidak sedap untuk didengar seperti saya sudah tidak “suci” dan sebagainya.

Peduli Merah: Bagaimanakah masalah haid memberi kesan kepada kualiti hidup saudari? 

Shakila Zen: Ketika penyakit saya memuncak, saya kerap mengambil cuti sakit. Boleh jadi satu hingga tiga hari setiap bulan. Keadaan berkenaan menjejaskan prestasi kerja saya dan telah mendapat amaran bertulis daripada pihak atasan. Untuk mendapatkan diagnosis penuh juga menuntut saya untuk dimasukkan ke wad hospital yang memakan masa berhari hari. Kehidupan saya juga terjejas kerana tidak boleh mengikuti aktiviti lasak yang saya gemari jika sedang datang haid. Keupayaan untuk berfikir dan menulis juga terhad ketika mengambil ubat ubatan hormon.

Peduli Merah: Boleh perincikan perbelanjaan bulanan saudari bagi produk haid?

Shakila Zen: Untuk ubatan berkaitan haid boleh menelan belanja sehingga RM300 sebulan bergantung kepada kesakitan yang saya hadapi. Belum termasuk perbelanjaan keluar masuk hospital yang boleh mencecah puluhan ribu untuk sekali sesi kemasukan ke wad hospital swasta. Saya bersyukur kerana menggunakan pad kain guna semula dan menstrual cup ketika haid. Jika terpaksa membeli tuala wanita pakai buang, saya mungkin akan berbelanja lebih kurang RM20 sebulan untuk produk tersebut.

Peduli Merah: Menurut saudari, apakah kesan utama stigma masyarakat tentang haid terhadap wanita? 

Shakila Zen: Bagi saya, stigma tentang haid wanita akan menimbulkan ketakutan untuk mendapatkan rawatan awal. Isu berkaitan kesihatan wanita juga tidak mendapat ruang yang sepatutnya kerana masih dianggap tabu. Sedangkan, tiap wanita mempunyai masalah dan keperluan berbeza ketika haid. Mereka harus mendapatkan nasihat daripada pakar. Jika tiada ruang untuk menormalisasikan perbincangan terhadap topik berkaitan haid, ramai wanita akan takut ke depan dan berjumpa dengan orang yang sepatutnya. Stigma memburukkan wanita yang menghadapi komplikasi ketika haid juga sebenarnya tidak membantu melainkan hanya menyebabkan kecelakaan kepada wanita yang lain.

Peduli Merah:  Boleh kongsikan kepada wanita yang mungkin mempunyai masalah yang sama, cara mendapatkan rawatan? 

Shakila Zen: Dapatkan surat sokongan daripada mana mana klinik swasta atau kerajaan. Bawa rekod jadual haid anda dan juga senaraikan simptom yang anda hadapi sebelum, semasa dan selepas haid. Nyatakan juga tentang bau, warna, kepekatan dan kuantiti darah anda ketika haid.

Berjumpa dengan pakar sakit puan di mana mana hospital sama ada kerajaan atau swasta dan jagan panik apabila mereka bertanya tentang aktiviti seksual anda walaupun anda tidak pernah berhubungan dengan sesiapa. Beritahu juga dengan jelas tentang alergik anda terhadap ubatan atau makanan tertentu

Pantau dan catat perubahan selepas anda makan ubat atau selepas menerima rawatan. Jika tidak ada apa apa perubahan, bincang dengan pakar sakit puan anda tentang alternatif lain untuk mengurangkan kesakitan anda.

Peduli Merah:  Apakah saran dan nasihat saudari kepada wanita lain berkaitan isu ini? 

Shakila Zen: Saran saya adalah jangan takut untuk mengenali badan kita sendiri. Lakukan pemeriksaan berkala terhadap tubuh anda sendiri dan pergi berjumpa pakar sekiranya ada perubahan yang ketara. Bincang bersama rakan atau pasangan yang dipercayai tentang kondisi anda untuk mengurangkan rasa takut terhadap hal yang kita tidak pasti. Sentiasa cakna dengan isu berkaitan wanita dan kesihatan organ wanita dan jangan sesekali menafikan cerita dan pengalaman wanita lain.

Artikel wawancara ini tidak dibenarkan sama sekali disiar ulang tanpa kebenaran. Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan, mohon berjumpa doktor dan dapatkan pemeriksaan kesihatan.


Oleh: Farahin W

Pewawancara Siri Suara Empuan Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: