Suara Empuan merupakan siri wawancara oleh Peduli Merah bertujuan mengangkat pengalaman perempuan yang sering diremehkan. Moga siri ini dapat memberikan keberanian dan maklumat asas kesihatan kepada pembaca. Ikuti siri wawancara bersama Alyn Sharuddin yang menghidap penyakit Endometriosis.

Alyn Sharuddin ialah seorang pelajar sepenuh masa yang juga aktif dalam lapangan kerja sosial. Berumur 31 tahun, beliau juga merupakan seorang sukarelawan. Alyn berdepan dengan masalah haid yang berpanjangan sehingga beliau akhirnya disahkan menghidap endometriosis.
Endometriosis ialah satu keadaan di mana tisu endometrium menempel di luar rahim. Ini menyebabkan haid tidak berlaku di dalam rahim, sebaliknya di luar.
Peduli Merah: Boleh kongsikan pengalaman haid saudari? Seawal umur berapa datang haid? Bila dan bagaimana mula sedar bahawa saudari mempunyai masalah haid? Apakah simptom utama yang saudari hadapi?
Alyn Sharuddin: Mula datang haid pada umur 11 tahun. Memang ada masalah senggugut yang teruk dan tempoh haid yang lama. Misalnya dalam satu bulan, haid boleh datang selama 12 hari dan tuala wanita penuh. Mula sedar ada masalah apabila haid tidak datang selama dua bulan. Selepas buat pemeriksaan dan dikatakan tidak ada masalah, cuba usaha turunkan berat badan. Dalam masa yang sama, perubatan untuk kesihatan mental mengganggu kitaran haid. Haid mula datang dalam kitaran 40 hari. Seterusnya dalam dua tiga tahun terkebelakang, selalu ada pendarahan tak normal antara kitaran haid dan senggugut yang teruk.
Peduli Merah: Adakah stigma masyarakat tentang haid mempengaruhi keputusan untuk mendapatkan rawatan? Jika ya, mengapa?
Alyn Sharuddin: Selaku individu yang mengalami masalah kegemukan, saya selalu mengambil mudah dengan nasihat menurunkan berat badan. Sehinggalah terbaca satu artikel tentang Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan endometriosis yang mengatakan kedua-duanya boleh menyebabkan berat badan tidak turun, begitu juga pembacaan yang mendalam tentang ketahanan insulin dan lain-lain. Pencarian tentang diet yang sesuai membawa saya ke laman Facebook, Diet TTC oleh Syaza Nutritionist.
Stigma masyarakat yang menghantui untuk membuat keputusan bagi melakukan pemeriksaan adalah tentang koyak dara, senggugut akan sembuh apabila bernikah. Perkongsian dan nasihat pakar termasuk nasihat yang didapati dari klinik pakar sakit puan menangkis stigma tersebut. Kesihatan tubuh badan perempuan adalah milik dirinya sepenuhnya, hal ini wajib diimani oleh perempuan sendiri. Setelah melalui satu tempoh haid yang sangat menyakitkan pada bulan Julai dan Ogos lalu, saya melakukan pemeriksaan dan disahkan menghidap endometriosis.
Peduli Merah: Bagaimanakah masalah haid memberi kesan kepada kualiti hidup saudari?
Alyn Sharuddin: Terkini, saya datang bulan hampir 20 hari. Ia sememangnya menjejaskan rutin hidup saya. Ada waktunya saya terpaksa merangkak ke bilik air kerana tenaga sudahpun diperah habis. Jika waktu bekerja sebagai tukang masak, saya perlu makan ubat tahan sakit atau panadol demi melaksanakan tugas. Apabila mula berhenti kerja untuk menumpukan pembelajaran sepenuh masa, waktu ini saya manfaatkan untuk pemeriksaan. Meskipun begitu, saya tidak dapat bekerja dengan produktif apabila datang bulan. Rutin harian juga tidak dapat saya laksanakan dengan baik.
Peduli Merah: Boleh perincikan perbelanjaan bulanan saudari bagi produk haid?
Alyn Sharuddin: RM60 – 70 untuk tuala wanita dan pelapik seluar dalam (panty liner), RM10 – 20 untuk ubat, minyak angin dan losen untuk ruam, dan perbelanjaan tak direkodkan untuk mengidam makanan. Sebagai seorang pelajar sepenuh masa, kos ini membebankan. Ini tidak termasuk perbelanjaan bagi suplemen.
Peduli Merah: Apakah saran dan nasihat saudari kepada wanita lain berkaitan isu ini?
Alyn Sharuddin: Dapatkan pemeriksaan segera dan nasihat pakar. Sekiranya pemeriksaan pertama tidak memuaskan hati anda, sila dapatkan nasihat kedua dan ketiga. Cari kumpulan sokongan di media sosial untuk kumpul maklumat dan kekuatan mendapatkan rawatan. Jangan putus asa sekiranya dimaklumkan dengan berita buruk tentang kesuburan, misalnya doktor pernah katakan buat waktu ini saya tidak boleh mendapatkan anak. Fokus pada kesihatan diri sendiri dan rawatan. Segalanya perlukan waktu, dan waktu itu sakti.
Artikel wawancara ini tidak dibenarkan sama sekali disiar ulang tanpa kebenaran. Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan, disarankan berjumpa doktor dan dapatkan pemeriksaan kesihatan.

Oleh: Farahin W
Pewawancara Siri Suara Empuan Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com