Suara Empuan merupakan siri wawancara oleh Peduli Merah bertujuan mengangkat pengalaman perempuan yang sering diremehkan. Moga siri ini dapat memberikan keberanian dan maklumat asas kesihatan kepada pembaca. Ikuti siri wawancara bersama Dr Hannah Nazri mengenai kemiskinan haid.


Dr Hannah Nazri adalah doktor perubatan dan calon doktor falsafah dalam bidang sakit puan di Universiti Oxford. Fokus kajian beliau adalah endometriosis, penyakit ginekologi yang banyak dialami oleh wanita.

Sebagai finalis 2020 ‘Women of the Future Award UK’ dan felo Harvard Public Health Review, Dr Hannah Nazri amat berminat untuk menggabungkan kareer beliau dalam bidang sakit puan dengan aktiviti-aktiviti advokasi untuk kesaksamaan gender dan pendidikan belia. 


Peduli Merah: Berikutan pengalaman kemiskinan haid Endang Hyder yang berlapar untuk elak datang haid (merujuk kepada rekod kesihatan beliau berkenaan gangguan polar pemakanan sejak remaja), bolehkah Dr Hannah jelaskan secara ringkas bagaimana rutin pemakanan memberi kesan kepada kitaran haid seseorang?

Dr Hannah: Ternyata apa yang mungkin berlaku kepada Endang Hyder adalah amenorrhoea iaitu ketiadaan haid selama 3 bulan atau lebih, yang boleh disebabkan oleh penukaran diet yang menyebabkan kehilangan berat badan dalam masa yang singkat serta stres. Ini kerana untuk badan wanita mengalami ovulasi (kedatangan haid adalah petanda bahawa ovulasi berlaku iaitu proses di mana ovari mengeluarkan telur ke rahim) dan seterusnya hamil, badan wanita perlu menjadi kaya dengan nutrien-nutrien penting supaya sekiranya wanita tersebut menjadi hamil, badan wanita boleh menanggung pertukaran fisiologi kehamilan serta memastikan kandungan tidak meletakkan beban kesihatan ke atas badan wanita. Berat badan ideal untuk kitaran haid yang normal bergantung kepada ketinggian seseorang (BMI = body mass index).

Peduli Merah: Gangguan kitaran haid kerana ‘berlapar’ ini boleh berlaku pada setiap perempuan atau ada faktor-faktor lain yang boleh memberikan kesan berbeza kepada seseorang perempuan yang memilih untuk ‘berlapar’ bagi mengelak datangnya haid?

Dr Hannah: Gangguan kitaran haid boleh berlaku kepada setiap perempuan apabila berlapar sehingga berat badan susut secara mendadak. Antara faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada berat badan yang terlampau rendah adalah senaman yang berlebihan dan stres. Selalunya kita boleh lihat amenorrhoea berlaku kepada atlet wanita profesional. Apa yang penting adalah untuk memastikan senaman atau aktiviti sukan adalah seimbang dengan kadar pemakanan. Ingat ya, kedatangan haid bermakna ovulasi telah berlaku tetapi tiada persenyawaan antara telur dan sperma. Oleh itu, gangguan kitaran haid dan ketiadaan haid berpanjangan adalah petanda ketidaksuburan. Badan kita ini smart – kalau berat badan terlalu rendah atau terlampau tinggi untuk ketinggian kita, kita akan mengalami gangguan kitaran haid untuk mengelakkan kemungkinan hamil yang boleh meletakkan stres fisiologi yang berlebihan kepada badan kita.

Peduli Merah: Pihak kami terima pelbagai respon berkaitan ‘berpuasa’ untuk elak datang haid misalnya kenyataan bahawa berpuasa pada bulan Ramadhan tidak sama sekali mengganggu kitaran haid mereka. Apa komen Dr Hannah berkenaan ini?

Dr Hannah: Berpuasa pada bulan Ramadan jarang menyebabkan penurunan berat badan yang ekstrem, ya. Di Malaysia, bila kita berpuasa, kita akan bersahur sebelum masuk waktu Subuh dan kemudiannya berbuka pada pukul 7.30 malam (waktu Maghrib). Oleh itu, kita hanya tidak makan tengah hari. Dengan budaya pemakanan kita yang agak berat iaitu makan nasi berlauk pada waktu tengah hari, secara keseluruhannya tidak makan pada waktu tengah hari adalah tabiat yang lebih sihat. Dan lazimnya bila kita berbuka puasa, kita akan binge eat atau makan berlebihan dengan pelbagai lauk-lauk dan manisan. Jadi berat badan kita yang hilang semasa berpuasa tidak semestinya berkekalan. Sekali lagi, saya ingin ingatkan, jika stor-stor nutrien badan kita habis digunakan bagi memastikan supaya badan kita berfungsi dengan normal, dan tidak diisi semula dengan pemakanan yang seimbang, kita akan mengalami gangguan kitaran haid. Kerana badan kita tidak optimal untuk menampung aktiviti-aktiviti fisiologinya apatah lagi menampung bayi.

Peduli Merah: Apakah nasihat Dr Hannah kepada para wanita bagi mengelakkan mereka membuat pilihan yang agak ekstrem dan akhirnya akan memberi kesan jangka masa panjang kepada tubuh mereka? 

Dr Hannah: Saya faham kenapa wanita-wanita ini membuat pilihan yang ekstrem. Memang naluri wanita sebagai seorang anak, isteri atau ibu untuk mengetepikan keperluan peribadi kerana keluarga dan orang yang tersayang. Tetapi, kita tahu bahawa produk-produk sanitari adalah satu keperluan sama juga seperti keperluan-keperluan harian lain. Saya berasa amat sedih untuk membaca tentang wanita-wanita ini terdesak untuk berlapar untuk menghentikan haid. Oleh itu, saya berasa hipokrit untuk memberi nasihat agar wanita-wanita ini mengamalkan kesederhanaan dalam pemakanan tanpa mengetahui dengan terperinci tentang situasi mereka.

Ternyata penyelesaian masalah ini terletak kepada kerajaan untuk memastikan: pertama, pendidikan haid agar wanita boleh membuat keputusan berkenaan dengan kesihatan mereka. Kedua, subsidi buat produk-produk sanitari untuk golongan yang memerlukannya dan memastikan pelajar-pelajar wanita boleh mendapatkan produk-produk sanitari secara percuma seperti yang dilakukan di United Kingdom, di samping menyediakan produk-produk sanitari alternatif seperti menstrual cup.

Artikel wawancara ini tidak dibenarkan sama sekali disiar ulang tanpa kebenaran. Sekiranya anda mengalami masalah kesihatan, disarankan berjumpa doktor dan dapatkan pemeriksaan kesihatan.

Oleh: Syiffa Rosman

Pewawancara Siri Suara Empuan Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com

1 Comment on “Suara Empuan: Terpaksa berlapar kerana miskin haid, apa kata doktor

  1. Pingback: Suara Empuan: Berlapar kerana miskin haid | Peduli Merah - Hannah.Nazri.org

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: