Peduli Merah; iaitu sebuah gerakan kemiskinan haid Malaysia ingin mengucapkan tahniah dan selamat berkhidmat kepada Datuk Seri Nancy binti Shukri di atas pelantikan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Kami berharap aspirasi Kerajaan Perpaduan dalam membasmi kemiskinan haid di Malaysia akan terus dinyalakan dan diberi perhatian secara menyeluruh. Perhatian perlu diberikan kepada stigma haid, akses fasiliti dan diskriminasi yang masih membelenggu masyarakat. Pelaksanaan juga perlu dilaksanakan secara bermaruah, selamat dan bebas stigma. Oleh itu, isu kemiskinan haid perlu digerakkan bersama badan-badan kementerian yang lain terutamanya Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kerajaan Negeri.

Dengan itu, Peduli Merah ingin mencadangkan 11 tuntutan dalam usaha membasmi kemiskinan haid di Malaysia selain kempen kesedaran dan pemberian produk haid percuma:

PENDIDIKAN

1. Memastikan Silibus Pendidikan Haid dan Seksual Diajar di Sekolah Rendah

Pendidikan haid dan seksual yang diajar di sekolah perlu melibatkan pelajar perempuan dan juga lelaki serta tidak ada keperluan untuk mengasingkan kedua-duanya. Malah, guru tidak boleh memilih untuk tidak mahu mengajar subjek itu kerana tabu. Guru perlu memainkan peranan untuk membina budaya perbincangan yang selamat dan sihat di dalam bilik darjah.

2. Memastikan Tidak Ada Pelajar Tercicir di Sekolah

Selain faktor kewangan dan sakit haid yang teruk, budaya nyahstigma haid di sekolah perlu diperkasakan supaya tidak ada pelajar yang tidak ke sekolah semasa haid kerana malu atau berasa diri kotor. Pihak kerajaan perlu membantu dan memperkasakan sekolah untuk menyediakan persalinan baju bagi pelajar perempuan jika berlaku kebocoran supaya pelajar tidak perlu pulang semasa waktu sekolah.

3. Perkasakan Pendidikan Haid Setara

Modul pendidikan haid setara perlu dirangka dan diselaraskan mengikut kesesuaian lokaliti dan budaya. Selain kitaran haid dan kebersihan, pendidikan seksual dan anatomi reproduksi perempuan, fiqh perempuan (bagi yang beragama Islam) dan kemanusiaan perempuan serta penggunaan cawan haid dan tuala wanita jenis kain perlu didedahkan dengan lebih luas. Badan berautoriti seperti institusi pendidikan dan keagamaan juga tidak boleh mengawal, melarang serta mengenakan tapisan grafik pendidikan haid setara.

PERLINDUNGAN SOSIAL

4. Kuatkuasakan Akta Anti Pemeriksaan Haid Secara Menyeluruh

Pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada semua ketua jabatan pendidikan negeri yang melarang amalan pemeriksaan haid dilakukan di semua institusi pendidikan negara perlu dikuatkuasakan juga kepada institusi lain di luar bidangkuasa KPM. Akta Anti Pemeriksaan Haid perlu digubal dan dilaksana sebagai langkah permulaan agar setiap golongan rakyat dapat menguruskan haid dengan bermaruah.

5. Perkenal Cuti Haid untuk Pekerja Perempuan

Usul Cuti Haid pernah disuarakan oleh Ahli Parlimen Klang Charles Santiago di dalam perbahasan parlimen yang lalu namun mendapat reaksi yang negatif oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Siti Zailah Yusoff. Sebagai makluman umum, pengalaman haid setiap perempuan adalah berbeza lebih lagi mereka yang mengalami penyakit Endometriosis, Ovarian Cyst atau Anemia (kekurangan zat besi dalam darah). Anggapan bahawa Cuti Haid menjadikan pekerja perempuan tidak produktif adalah tidak benar, sebaliknya ia akan lebih meningkatkan produktiviti dan ekonomi kerana persekitaran serta budaya kerja kondusif yang mengutamakan kebajikan dan kesihatan pekerja perempuan.

6. Subsidi Produk Haid Mesra Alam Sekitar

Tuala wanita adalah keperluan asas. Setiap ahli keluarga perempuan atau individu berhak mendapatkan akses produk haid yang cukup untuk keperluan dirinya. Mengikut saranan doktor kesihatan, setiap perempuan yang kedatangan haid perlu menukar tuala wanita setiap 4 hingga 6 jam penggunaan bersamaan 4 atau 6 helai tuala wanita sehari. Kiraan penggunaan tuala wanita selama seminggu boleh mencapai 30 helai untuk seorang ahli keluarga perempuan.

7. Menubuhkan Jawatankuasa Bersama Haid Setara

Bagi memastikan Malaysia dapat mencapai haid setara, kami menggesa pihak kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa bersama untuk terus mengumpul data dan perkasakan kajian tentang kemiskinan haid dan haid setara. Selain dari itu, usaha-usaha dan inisiatif yang dijalankan perlu dipantau dan dinilai dari masa ke semasa.

AKSES KESIHATAN & KEMUDAHAN AWAM

8. Menyediakan Akses Kesihatan yang Mesra Ekonomi Rakyat

Individu boleh mendapatkan rawatan kesihatan haid dan reproduktif atau memohon cuti sakit tanpa diskriminasi gender, malah aspek kesihatan mental juga perlu diambil kira terutamanya individu yang mengalami kemiskinan haid.

9. Menaiktaraf Prasarana Awam dan Menyediakan Ruang Kondusif untuk Menguruskan Haid

Setiap golongan rakyat berhak mendapat akses kepada air yang bersih terutamanya di pedalaman Sabah, tandas yang berfungsi, ruang yang tertutup dan selamat serta sabun basuh tangan bagi pengurusan kebersihan peribadi. Akses fasiliti untuk OKU dan komuniti LGBT juga boleh digunakan secara selamat dan bebas stigma. Tandas sekolah dan tandas awam perlu dinaiktaraf dan kemudian diselenggara dengan kerap bagi memastikan setiap golongan perempuan dapat menguruskan haid. Sistem pelupusan tuala wanita pakai buang juga perlulah mesra alam sekitar.

ETIKA MANUSIAWI

10. Pelaksanaan Bantuan Secara Telus dan Tanpa Diskriminasi

Setiap golongan perempuan termasuk ibu tunggal, keluarga B40, OKU, pelajar, rakan jalanan, Rakyat tanpa warganegara, Orang Asal, komuniti LGBT, migran, pencari suaka Rohingya, Myanmar atau Palestin dan setiap individu di bawah perlindungan UNHCR berhak mendapatkan akses produk haid secara percuma serta akses pendidikan haid yang tepat.

11. Perkasakan Budaya Nyahrasuah

Usaha sama badan-badan kerajaan dan syarikat pembekal tuala wanita mestilah melalui tender terbuka bagi mengelakkan ketirisan dana awam berlaku dan pastinya kami tidak mahu usaha sama yang cuma mengkayakan kroni.

Peduli Merah menyeru kerajaan Malaysia dapat bersama melaksanakan agenda haid setara dalam usaha membasmi kemiskinan haid.

Manifesto Haid Setara
16 November 2022
Kemaskini: 12 Disember 2022

 Disokong oleh:

 Organisasi

1. Malaysian Doctors for Women & Children

2. Sisters In Islam

3. Free Pads for Her

4. Project One Pad One Love (Sabah) 

5. Borneo Komrad (Sabah)

6. Cahaya Society (Sabah)

7. The She Society

8. Project Girls4Girls

9. KUASA

10. BUNGA Pads

11. Persatuan Belia Harmoni Malaysia  (Harmoni)

12. Pad Project My (Sarawak)

13. IIUM Student Union

14. My Cycle Care by ABM Selangor, KL, Putrajaya 

Individu 

1. Dr Hannah Nazri, NIHR Academic Clinical Fellow & Specialty Trainee in Obstetrics & Gynaecology, University of Warwick

2. Dr Rusaslina Idrus, Rancangan Pengajian Gender, Universiti Malaya. 

3. Dr Azhar Ibrahim, Universiti Kebangsaan Singapura

4. Rabiatul Adawiyah, calon PhD Universiti Mohammed V, Morocco

5. Shakila Zen, Aktivis Alam Sekitar

6. Wan Noor Khuzairey, Penulis

7. Ahmad Muziru Idham, Penulis

8. Virman Juri, Sunway University

9. Sue Emoqwin

10. Mariani Ramli

11. Puteri N. Balqis

12. Eric Shu

13. Nurdiyana Munira Binti Said

14. Nur Sakeenah binti Omar

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: