Saya senang hati melihat perbincangan haid semakin hari semakin kurang canggung. Saya juga perlahan – lahan membuang silu ketika bercakap tentangnya. Meskipun, saya sudah pun menerima tuduhan tak tahu malu kerana tanpa segan bercakap tentang darah bulanan itu, sejujurnya, ubah muka jadi tembok bukan hal yang mudah. Dan saya masih berusaha mengekalkannya. Bincang haid selalu meresah-malukan. Orang – orang tak mahu bercakap tentangnya kerana haid adalah hal peribadi orang perempuan. Menyebut sedang datang bulan sahaja sudah mencalarkan maruah. Namun kini, dengan perlahan ia menjadi lebih biasa ketimbang ketika saya berumur belasan tahun. Seharusnya begitu. Haid ialah proses semula jadi yang dialami seorang perempuan. Tak patut jadi tabu. Tak perlu canggung dan malu. Setidaknya, itu perkara pertama yang perlu kalian imani.
Perbincangan haid juga semakin lancar keluar dari lidah laki – laki. Sudah tentu, ia perlu disambut baik. Haid bukan semata – mata hal domestik melainkan isu awam yang tidak boleh tidak mesti difahami. Dari setitik darah hingga hal – hal reproduksi. Dari perempuan kecil hingga perempuan dewasa. Setiap satunya perlu diketahui. Setidaknya, tahu. Namun, ketika haid sudah tembus penjara bibir seorang lelaki, apakah ia benar – benar sesuai dengan pengalaman perempuan? Sewaktu ketul – ketul darah meluncur keluar dari lidah seorang lelaki, apakah ia cukup menggambarkan haid di mata perempuan? Dan di saat seorang lelaki luah fikir dan cadang tentang haid, adakah ia terpakai kepada semua perempuan? Sudah tentu, lelaki boleh bercakap tentang haid. Mesti diraikan. Mesti digalakkan. Dalam keghairahan bercakap tentang hal yang tak pernah berlaku kepada batang tubuh kalian, pasti ada “aturan” yang perlu diingat. Ada kenyataan dan fakta yang tak boleh dilupakan. Kekal dan mesti digenggam.
Pertama, pengalaman haid adalah berbeza bagi setiap perempuan. Dengan tubuh yang berbeza, rahim yang berbeza, tempoh masa yang berbeza, darah, kesihatan – hampir semuanya, semuanya berbeza bagi perempuan yang berbeza. Saya datang bulan kali pertama ketika saya sebelas tahun sementara ibu saya menerima kunjungan haid ketika menjelang usia lima belas tahun. Saya lenguh dan sakit pinggang semasa haid sedangkan teman saya yang lain melekat dengan katil, terikat kerana senggugut yang tak mahu pergi. Kadang, telur – telur tak keluar hingga dua bulan sedang teman saya “bendera merah”nya berkibar setiap bulan. Saya tujuh hari, dia sepuluh hari. Saya bermula dengan darah merah, dia boleh jadi bermula dengan darah merah kehitaman. Ini perkara asas yang mesti kalian tahu. Yang dialami oleh perempuan ini boleh jadi tidak dialami oleh perempuan itu. Yang dialami oleh ibu boleh jadi tak dialami oleh adik dan kakak.
Saya tahu benar, bukan lelaki sahaja malah perempuan juga ikut sama menafikan pengalaman haid orang lain. Kenangkah kalian pada pengalaman haid seorang perempuan yang tular (seingat saya awal tahun ini?)? Darah haidnya ialah bah yang membanjiri katil dan suami tanpa kata dua bersedia membantu. Jadi tukang cuci. Komen balas bercampur baur. Yang terharu dan yang cemburu. Yang memuji dan yang mengeji. Katanya, perempuan kini tak ada malu. Bincang haid dia ruang awam? Dunia kini sudah tiba di titik akhir. Atau katanya, kini lelaki malah jadi amah membersih haid. Dan katanya lagi, kedatangan haid boleh dijangka dan boleh diatur. Tanpa sedar, mereka menafikan bahawa pengalaman haid adalah berbeza bagi setiap perempuan.
Memahami pengalaman haid seorang perempuan adalah berbeza ialah memahami keperluan dan pengurusan semasa haid juga berbeza – beza. Maka, tak ada satu perkara yang absolut soal haid.
Mana ada orang bincang haid tanpa menyentuh pengurusan haid. Haid bukan tentang darah sahaja. Ia tentang pengurusan, produk haid, kebersihan, kesihatan. Dan kalau saya mahu pergi lebih jauh – ia tentang kehidupan seisinya. Kemiskinan haid selalu menjadi topik diskusi bukan sahaja kita malah pembuat polisi. Kalau boleh saya bersikap skeptik, kadang – kadang kemiskinan haid ialah topik populis yang cuma mahu menangkap mata – mata pemerhati. Namun, kalau kita mahu optimis, lebih baik ada dari tiada kan? Miskin haid yang selalu menjadi perbahasan terpopular pastilah tentang akses kepada produk haid ; tentang tuala wanita. Ini perbincangan dan pertelingkahan yang hangat. Dari meja pembuat polisi hingga meja – meja kopi. Semuanya mahu menuliskan idea untuk disumbat masuk ke peti cadangan. Kalau ditatal laman Twitter dan Facebook pasti ada sahaja komen – komen seperti kekangan kepada akses ini boleh sahaja selesai dengan cara menggunakan tuala wanita jenis kain. Lebih “elit” lagi, dicadangkan untuk menggunakan cawan haid. Cadangan ini tidak pernah salah tetapi ia mesti mengambil kira pengalaman haid perempuan itu sendiri. Lain pengalaman, lain penyelesaian. Lain faraj, lain produk.
Yang biasa digunakan ialah tuala wanita pakai buang dan tuala wanita jenis kain. Jarang sekali kita melihat perempuan menggunakan cawan haid. Malah penggunaan tampon juga kurang sekali. Tidaklah dikatakan tiada namun boleh disimpulkan perempuan lebih selesa menggunakan tuala wanita pakai buang. Mari saya ajarkan. Tuala wanita pakai buang sesuai dengan kebanyakan perempuan. Dengan bekalan air bersih yang mencukupi atau tidak, ia sesuai dan boleh digunakan. Yang menjadi persoalan dan selalu dibahaskan ialah alternatif lain bagi menggantikan tuala wanita pakai buang misalnya tuala wanita jenis kain atau cloth pad. Kita saksikan orang lelaki memberi cadangan. Kadang – kadang bunyinya angkuh dan merasa paling benar. “Tak ada isu pun, pakai je lah pad kain”, “Pakai cawan haid pun boleh kan? Apa yang susah sangat?” “Orang dulu-dulu tak ada isu pun. Elok je”. Tanpa mengambil kira bahawa pengalaman perempuan berbeza – beza, ada sahaja pendapat yang ditulis tanpa empati. Tuala wanita jenis kain sememangnya antara alternatif yang baik. Namun, ia mesti mengambil kira keadaan perempuan semasa mengurus haid. Alternatif ini boleh diaplikasikan sekiranya 1) Mempunyai bekalan air bersih mencukupi. 2) Punya ruang privasi (untuk tujuan mencuci dan menjemur). Bayangkan membasuh pad kain di tandas awam? Begitu juga dengan cawan haid – sesuai sahaja bagi mereka yang berani dan biasa dengannya. Ada yang selesa, ada yang tidak. Ada yang suka, ada yang tidak. Kan tergantung perempuan itu sendiri?
Begitulah. Bincang haid mesti datang bersama empati dan kehendak untuk memahami. Haid ialah kunci kesihatan perempuan. Sebelum haid, semasa haid malah selepas haid. Semuanya. Sememangnya, kita perlu lebih ramai Pak Azadkah untuk memahami haid? Kita perlu Pak Azadkah untuk berhenti berfikir “Ahlah senggugut. Tak rasa lagi senak kena sepak kat alat sulit”. Atau “lelaki kena sunat relaks je”. Atau “member aku senggugut tapi boleh sahaja datang kerja”. Atau “equality konon. Senggugut je pun minta mc”. Upaya untuk menahan kesakitan bukan indikator untuk menentukan siapa yang lebih kuat menahan sakit. Siapa yang lebih berkorban. Atau siapa yang lebih banyak menanggung derita. Kan kita semua terlahir berbeza? Boleh jadi yang sakit bagi saya tidak seberapa besar halnya kepada kalian. Boleh jadi yang menyeksakan bagi kalian adalah hal yang kecil bagi saya. Boleh jadi yang derita bagi saya juga derita bagi kalian. Pengalaman haid berbeza – beza. Tidak perlu dibanding – bandingkan. Ini bukan pertandingan.
Haid bukan perkara kecil dalam kehidupan. Bukan sahaja kepada perempuan tapi buat semua. Merancang keluarga juga bergantung kepada haid. Maka, cari tahu, fahami dan kenalilah.
Sampai di sini, mungkin kalian nantikan hal kedua yang mesti dipasak dalam ruang fikir ketika berbincang tentang haid. Tak ada. Cuma satu – pengalaman haid adalah berbeza bagi mereka yang mengalaminya. Justeru, sedarlah ketika memberi pendapat bahawa kalian tidak selalu benar. Saya tidaklah sepenuhnya bersetuju dengan No Uterus No Opinion (meskipun, kadang memang lebih senang berkata demikian) namun, apabila seorang pemilik rahim memberi ajar kepada kalian, akur dan bercerailah dengan ego kalian. Berkehendaklah untuk memahami dan bukan menetapkan sesuatu yang tidak kalian ketahui.
Oleh : Farahin W.