Suara Empuan merupakan siri wawancara oleh Peduli Merah bertujuan mengangkat pengalaman perempuan yang sering diremehkan. Moga siri ini dapat memberikan keberanian dan maklumat asas kesihatan kepada pembaca. Ikuti siri wawancara bersama Nur Sakinah Rosli tentang perjalanannya mendapatkan rawatan demi menimang cahaya mata.

Nur Sakinah Binti Ahmad Rosli graduan jurusan kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dan kini bekerja dalam perusahaan kontraktor sivil. Felo akademik Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dalam kohort Isu Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli. Menyumbangkan penulisan di Lestari Hikmah dan Jurnal Sang Pemula. Fokus penelitian pada hal-hal pembangunan, kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial. Sakinah bergabung dalam kumpulan bacaan ARTiculator bersama teman-teman Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam mengikuti wacana berkaitan sosiologi, sejarah, politik dan Islam progresif.
Sakinah juga bergerak dalam Persatuan Agroekologi Malaysia untuk Intensifikasi Sumber Lestari atau Malaysian Agroecology Society for sustainable resource intensification (SRI-Mas), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mana aspirasinya adalah untuk memperkasakan masyarakat melalui kesedaran agroekologi dalam amalan pertanian. Sakinah bergiat aktif dalam menghasilkan konten media sosial dan penulisan pamphlet sebagai sebuah usaha advokasi hak petani dan kesedaran alam sekitar dalam menjamin bekalan makanan nasional. Sakinah berdepan dengan masalah kesuburan yang mengakibatkan kesukaran menimang cahaya mata.
Peduli Merah : Boleh kongsikan pengalaman haid saudari? Seawal umur berapa saudari datang haid? Adakah saudari mempunyai masalah semasa haid (misalnya masalah kitaran atau simptomyang lain) dan bagaimana saudari menyedarinya?
Sakinah Rosli : Haid saya bermula ketika saya berumur 12 tahun. Seingat saya sedari dari mula haid hingga sebelum saya berkahwin iaitu ketika berumur 23 tahun, kitaran haid saya tidak pernah normal. Adakalanya saya hanya akan datang haid sekitar empat hingga lima kali sahaja setahun. Semasa saya masih bersekolah menengah, saya menganggap kitaran haid yang tidak teratur adalah normal bagi remaja yang baru datang haid seperti saya, tetapi ia berlanjutan ketika saya berumur 20 tahun. Ketika saya hampir berumur 20 tahun emak saya pernah mencadangkan untuk saya berjumpa doktor takut-takut jika saya mempunyai apa-apa masalah berkaitan kitaran haid saya dan mendapatkan rawatan yang diperlukan.
Tetapi kerana ketakutan berjumpa doktor masih menebal dalam diri, saya menangguhkan rancangan tersebut kerana di benak saya, tentu ada seketul cyst yang besar dalam organ peranakan saya sehingga saya mempunyai kitaran haid tidak normal dan bagi membuang cyst tersebut tentulah saya perlu dibedah seperti yang saya lihat di TV dalam sebuah dokumentari medik dan pasca pembedahan tentulah amat menyakitkan. Ya, aneh bagi orang, tetapi inilah ketakutan tidak bersebab yang bermain dalam minda saya, saya lebih rela menghadapi hari-hari tenang tanpa haid berbanding realiti mengapa kitaran haid saya tidak normal. Saya tidak pernah merasa kesakitan terlampau ketika datang haid, malah ketika itu pengalaman saya dengan senggugut hanya sekali sahaja iaitu ketika berumur 17 tahun. Jadi saya tidak merasa keperluan untuk berjumpa doktor pada ketika itu, malah saya suka jika tidak datang haid setiap bulan kerana tidak perlu menguruskan sisa pad atau menghadapi Premenstrual syndrome (PMS) seperti rakan perempuan yang lain.
Peduli Merah : Kalau tidak keberatan, boleh saudari kongsikan pengalaman saudari untuk mendapatkan zuriat?
Sakinah Rosli : Kami berkahwin dalam usia yang muda, sejurus selepas tamat pengajian. Suami dan saya masih tidak mempunyai pendapatan pada ketika itu maka kami bersetuju untuk menangguhkan untuk mempunyai anak dalam setahun, tambahan lagi kami berjauhan kerana kerja. Tahun berikutnya kami sudah tinggal bersama, tetapi pada waktu itu kami tidak berat berbincang tentang hal anak dan membiarkan apa adanya kerana kami masih cuba menstabilkan keadaan kewangan. Tambahan lagi tahun tersebut tahun yang kami aktif beraktiviti bersama kumpulan rakan masing-masing dan sering keluar rumah.
Masuk tahun kedua perkahwinan kami, COVID-19 melanda seluruh dunia dan waktu terperap di rumah dan mempunyai banyak masa untuk termenung itulah saya merasa ada sesuatu yang saya perlukan tetapi tidak ada. Ketika terbangun tidur di suatu malam, saya terus bertanya “di mana anak saya?” dalam keadaan yang masih mamai dan akhirnya saya termenung ke siling bilik. Tetapi saya masih takut untuk berjumpa doktor kerana mungkin realiti akan menjadi begitu menjerihkan. Pada tahun tersebut suami saya cuba mendapatkan slot bagi memeriksa kesihatan air mani tetapi ketika menelefon ke hospital swasta berdekatan, mereka menolak dengan berkata bahawa isteri perlu diperiksa bersama-sama suami, jadi suami saya hanya menunggu jika saya sudah bersedia berjumpa doktor (tetapi hal ini dijelaskan doktor hospital berkenaan bahawa suami boleh sahaja datang berjumpa mereka tanpa isteri hanya untuk membuat ujian sperma).
Pada tahun berikutnya, 2021 iaitu tahun ketiga perkahwinan, saya merasa sudah tiba masa saya menghadapi apa sahaja bagi menimang cahaya mata, saya menyediakan mental diri saya untuk berjumpa doktor. Tetapi kerana keadaan pandemik bertambah parah, kami mengambil keputusan untuk menunggu vaksin sebelum membuat pemeriksaan di hospital kerana takut keadaan akan bertambah teruk jika dijangkiti COVID-19. Sejurus sahaja mendapat vaksin, saya berjumpa doktor di klinik kesihatan terhampir bagi mendapatkan surat rujukan atau referral letter ke hospital besar. Walaubagaimanapun, doktor di klinik kesihatan perlu membuat pemeriksaan saringan seperti ujian darah terlebih dahulu sebelum memberi surat rujukan untuk ke hospital besar, sesi untuk mengambil darah itu sendiri perlu menunggu selama seminggu dan kemudian menunggu lagi 2 minggu bagi mendapatkan keputusan ujian darah tersebut. Sehingga doktor yang memeriksa saya itu perasan akan kekalutan dalam diri saya yang tidak sabar mengetahui adakah saya mempunyai penyakit berkaitan organ reproduksi sehingga perlu dibedah dan adakah itu menjadi punca saya masih tidak boleh mempunyai anak. Akhirnya doktor itu mencadangkan saya membuat ultrasound rahim di hospital swasta terlebih dahulu dan datang semula ke klinik kesihatan selepas mendapat keputusan pemeriksaan tersebut bagi menjimatkan masa, kerana ujian darah saya tidak menunjukkan apa-apa masalah berkaitan organ reproduksi.
Pada hari yang sama, saya terus menelefon hospital swasta terhampir. Walaubagaimanapun, menurut petugas hospital, pemeriksaan ultrasound tidak boleh dibuat tanpa konsultasi dari doktor mereka ataupun surat rujukan dari mana-mana doktor. Maka kami memutuskan menerima terus konsultasi dari pakar sakit puan mereka. Pada satu hari itu sahaja, doktor pakar sakit puan tersebut telah mengambil darah, mengambil sampel pangkal rahim bagi pemeriksaan kanser pangkal rahim atau dipanggil sebagai ujian pap smear, membuat ujian transvaginal ultrasounddan menerangkan keputusan ujian darah dan ultrasound tersebut. Malah membuat janjitemu bagi ujian selanjutnya untuk saya dan suami. Kami berdua pulang dalam keadaan yang sangat gembira kerana tidak menyangka proses akan menjadi begitu cepat di hospital swasta selain lega bahawa hasil ujian yang menunjukkan kesemuanya baik dan normal untuk saya. Kami mengambil keputusan untuk menerima konsultasi dari hospital kerajaan dan hospital swasta bagi memudahkan urusan.
Peduli Merah : Apakah masalah kesuburan yang dihadapi oleh saudari serta apakah rawatan yang sedang saudari jalani sekarang?
Sakinah Rosli : Dalam ujian darah menunjukkan saya tidak mempunyai masalah dengan kalenjer teroid yang menghasilkan hormon, dalam ujian transvaginal ultrasound di mana sebuah alat berbentuk seperti tongkat magik (bukan seperti alat ultrasound biasa yang digunakan untuk melihat bayi) yang dimasukkan ke dalam vagina saya sehingga ke pangkal rahim menunjukkan rahim, kilang telur (ovari) dan telur saya (ovum) berada dalam keadaan normal. Oleh itu, doktor melanjutkan pemeriksaan X-ray rahim dan tiub falopi bagi melihat apakah ada halangan atau sumbatan dalam tiub falopi dan memetakan rahim saya, ujian itu dinamakan Hysterosalpingography (HSG) di mana kita perlu baring sambil tiub yang mengalirkan cecair pewarna atau dye dimasukkan ke dalam rahim hingga ke tiub falopi, dan jururadiografi akan mengambil X-ray ketika cecair itu mula memenuhi seluruh tiub falopi. Proses ini diulang empat ke lima kali bagi memastikan gambar X-ray yang diambil jelas.
Sebelum memulakan prosedur ini, jururadiografi memesan untuk melihat prosedur ini di Youtube supaya kita lebih bersedia. Kita dikehendaki untuk kencing terlebih dahulu sebelum memulakan prosedur. Ketika sudah baring, speculum atau dikenali lebih sebagai mulut itik akan dimasukkan ke dalam vagina bagi memudahkan prosedur. Sama seperti doktor pakar sakit puan, jururadiografi yang membuat prosedur tersebut akan meminta kebenaran terlebih dahulu untuk membuka kemaluan kita dan meminta maaf jika ia menyakitkan. Mereka berhati-hati agar kita tidak merasa sakit sepanjang prosedur. Pengalaman saya membuat HSG, ia tidak menyakitkan saya hanya berasa tidak selesa seperti sakit perut mahu buang air besar ketika cecair itu terus dimasukkan, tetapi pengalaman ini akan berbeza setiap wanita, ia boleh jadi menyakitkan pada wanita lain. Tetapi penting untuk kita sentiasa berkomunikasi dengan jururadiografi dan tahu apa yang akan terjadi ketika prosedur dilakukan. Habis dari prosedur tersebut, kita perlu bersedia dengan pad kerana akan ada cecair yang bewarna merah jambu cair keluar dari vagina, dan seperti yang kita tahu, kita tidak boleh mengawal cecair yang keluar dari vagina tidak sepertimana kita menahan kencing.
Ujian HSG dan ujian air mani juga menunjukkan semuanya normal. Maka doktor O&G tersebut walaupun bukan seorang Islam menenangkan kami dengan mengatakan ‘mungkin masih tiada rezeki’ dan berkali-kali berpesan supaya saya tidak tertekan dan risau, hal ini biasa terjadi dan oleh kerana saya tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan organ reproduksi, rawatan selanjutnya boleh diteruskan.

Oleh: Farahin W
Pewawancara Siri Suara Empuan Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com