Suara Empuan merupakan siri wawancara oleh Peduli Merah bertujuan mengangkat pengalaman perempuan yang sering diremehkan. Moga siri ini dapat memberikan keberanian dan maklumat asas kesihatan kepada pembaca. Ikuti siri wawancara bersama Nur Sakinah Rosli tentang perjalanannya mendapatkan rawatan demi menimang cahaya mata.


Nur Sakinah Binti Ahmad Rosli graduan jurusan kejuruteraan awam dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dan kini bekerja dalam perusahaan kontraktor sivil. Felo akademik Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dalam kohort Isu Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Asli.
Menyumbangkan penulisan di Lestari Hikmah dan Jurnal Sang Pemula. Fokus penelitian pada hal-hal pembangunan, kelestarian alam sekitar dan keadilan sosial. Sakinah bergabung dalam kumpulan bacaan ARTiculator bersama teman-teman Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam mengikuti wacana berkaitan sosiologi, sejarah, politik dan Islam progresif.

Sakinah juga bergerak dalam Persatuan Agroekologi Malaysia untuk Intensifikasi Sumber Lestari  atau Malaysian Agroecology Society for sustainable resource intensification (SRI-Mas), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mana aspirasinya adalah untuk memperkasakan masyarakat melalui kesedaran agroekologi dalam amalan pertanian. Sakinah bergiat aktif dalam menghasilkan konten media sosial dan penulisan pamphlet sebagai sebuah usaha advokasi hak petani dan kesedaran alam sekitar dalam menjamin bekalan makanan nasional. Sakinah berdepan dengan masalah kesuburan yang mengakibatkan kesukaran menimang cahaya mata. 


Peduli Merah : Boleh saudari kongsikan proses/prosedur rawatan yang sedang dijalani, serta kesan sampingan kepada saudari?

Sakinah Rosli : Saya dikehendaki datang semula ke hospital ketika hari kedua haid saya yang seterusnya. Doktor telah memberi saya ubat yang dipanggil Clomiphene Citrate atau nama pendeknya Clomid, ubat ini membantu merangsang penghasilan hormon yang diperlukan bagi mematangkan telur atau proses yang kita panggil sebagai ovulasi yang seterusnya menghadirkan haid jika telur tidak disenyawakan. Ia perlu diambil dari hari kedua hingga hari keenam haid (sehari sekali selama lima hari). Empat hari selepas itu kita perlu berjumpa doktor semula bagi membuat ujian transvaginal ultrasound bagi melihat jika ada telur yang matang. Jika tidak ada, selang tiga atau empat hari selepas itu saya perlu hadir lagi ke hospital bagi membuat transvaginal ultrasound lagi dan jika masih tidak ada telur yang matang, doktor akan menambah dos ubat dan kita perlu datang lagi sekali selepas beberapa hari untuk membuat ujian yang sama. Saya telah melakukan ini sebanyak dua kali iaitu di akhir tahun 2021 dan di hujung tahun 2022. Saya tidak lagi memerlukan pembantu doktor untuk menyiapkan saya ketika berbaring untuk membuat ujian ultrasound, saya sendiri menarik langsir dan meletakkan pelapik di atas perut saya setelah beberapa kali ulang-alik untuk membuat ujian tersebut. Dan setiap kali keputusannya, tiada telur yang matang untuk waktu tersebut. 

Kita juga boleh memerhatikan kesan Clomid melalui kit ramalan ovulasi atau ovulation test strip (seperti kit ujian kehamilan tetapi keduanya mengenalpasti hormon yang berlainan) yang dijual di farmasi malah di Shopee, ia boleh didapati dengan murah (bawah RM1 per kit) bergantung kepada jenis kit tersebut. Alat ini akan mengenalpasti waktu ovulasi kita, supaya mudah untuk kita membuat kira-kira bila masa yang sesuai untuk bersama suami sama ada untuk hamil atau mencegah kehamilan, ramai yang akan menggunakan alat ini sebagai penunjuk. Saya telah mengambil ikhtiar tersebut tetapi keputusan di kit tersebut tidak pernah positif walaupun nantinya haid saya menjelma, saya tidak pernah faham kitaran haid tubuh saya sendiri. Doktor menjelaskan bahawa Clomid ini hanya akan diberikan kepada mereka yang masih datang haid (walaupun tidak teratur) kerana ia bermakna mereka masih mempunyai telur dan telur-telur tersebut boleh matang. Jika kami berkeputusan membuat kaedah Intrauterine insemination (IUI) sekalipun, telur perlu matang terlebih dahulu dan selalunya Clomid akan digunakan dalam prosedur tersebut.

Oleh kerana saya tidak memberi reaksi segera kepada Clomid, Doktor menyarankan untuk saya meneruskan rawatan menggunakan laser yang ditembak ke ovum bagi merangsang telur untuk matang. Kejayaan rawatan laser berbanding Clomid adalah lebih tinggi (kaedah ini boleh dibaca lanjut menggunakan kata kunci ‘Induction of Ovulation using Low-Level Laser Biostimulation’, tetapi lebih disaran untuk bertanya terus kepada doktor anda). Walaubagaimanapun, rawatan ini memakan kos yang agak tinggi dan memerlukan kita bersedia lebih dari segi fizikal. Setakat ini saya masih menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan rawatan.

Berkenaan dengan kesan yang dibawa setelah makan Clomid, oleh kerana dahulu saya tidak mempunyai PMS yang ketara seperti rakan perempuan lain, saya mempunyai stigma yang buruk terhadap perempuan yang menggunakan PMS sebagai alasan emosi mereka kerap berubah dan tidak boleh dibaca. Saya rasakan bahawa saya boleh mengawal perasaan saya tentu perempuan lain juga boleh. Saya pernah percaya bahawa kaum saya adalah kaum yang tidak waras dan menyerah kepada hormon lebih dari akal sendiri. Sehingga saya juga menidakkan bahawa perempuan mempunyai kesukaran dan harus disokong secara struktural. Walaupun beberapa tahun kebelakangan ini, saya merasakan sedikit turun-naik emosi ketika hampir datang haid, perubahan itu tidak seketara seperti selepas makan Clomid.

Selepas pertama kali saya makan Clomid, ada satu hari yang saya bangun dengan perasaan hiba tanpa sebab. Seluruh kewujudan saya, saya rasakan tidak berguna dan hanya ingin menangis sepanjang masa. Saya tahankan sahaja sehinggalah semuanya terburai ketika suami saya menyakat dengan niat bergurau. Suami saya tergamam kerana saya tidak pernah berkelakuan begitu. Saya katakan kepada suami saya, saya tak tahu mengapa saya mempunyai perasaan yang sangat teruk dan saya katakan saya hanya mahu jadi orang yang tidak waras pada hari itu. Dia diam dan memeluk saya dan selepas itu membawa saya berjalan membonceng motorsikal ke sekitar bendang padi. Perasaan itu tidak boleh ditanggalkan walau sekuat mana saya mencuba. Tetapi esoknya saya berasa seperti tidak pernah mempunyai perasaan teruk sedemikian. 

Dan selepas kejadian tersebut saya lebih faham turun naik emosi saya sendiri. Saya akan melayan apapun perasaan yang datang, jika hiba, saya akan menangis, jika geram, saya akan menghempas bantal, jika girang, saya akan menyanyi. Saya cuba merasa aman dengan apa-apa perasaan yang datang. Telah saya terima, mungkin ini pembalasan tuhan kerana berfikiran buruk terhadap teman-teman perempuan saya selama ini, tentu bebanan ganda kerja rumah dan menjaga anak itu sudah cukup berat, ditambah beban emosi dari badan mereka dan stigma-stigma negatif dari masyarakat, tetapi mereka masih mampu berdiri menghadapi hari-hari seterusnya. 

Dengan ini adakah saya bersetuju dengan stigma yang mengatakan perempuan itu kurang akalnya kerana menurut emosi? Tidak sama sekali. Hormon mempengaruhi emosi baik lelaki mahupun perempuan. Tetapi mengapa hanya perempuan sahaja yang perlu dihadapkan dengan pertuduhan ‘kurang akal’ sehingga dijadikan sebab mengapa perempuan tidak boleh diberikan tanggungjawab dan ruang mengaktualisasikan cita-cita mereka?

Malah ketika kita sedar bahawa banyak perubahan hormon yang berlaku dalam badan perempuan kerana sistem reproduksi mereka, seharusnya kita harus membina sistem sokongan bagi menampung kesukaran yang dihadapi mereka, tetapi sebaliknya yang terjadi kita bukan sahaja membina stigma buruk terhadap perempuan malah kita tidak pernah berfikir bahawa mereka menghadap beban ganda seperti kerja-kerja domestik dan care work tidak berbayar yang menyukarkan mereka untuk menyertai ruang-ruang dalam masyarakat lalu mengorbankan aspirasi mereka sendiri, dan ini boleh menjadi punca mengapa mereka begitu marah dan lelah. 

Walaupun tanpa Clomid, saya juga menyedari PMS saya akan makin menonjol apabila kitaran haid semakin kerap (menghampiri 12 kali haid setahun) apabila umur saya makin meningkat tua. Pernah saya kerap sakit kepala ketika haid, bahagian abdomen, pinggang dan pangkal paha juga kerap terasa sakit, malah jika ada kesakitan yang datang tetapi tidak diketahui punca, maka sesudahnya datanglah haid. Saya tidak begitu terkejut dengan simptom-simptom berkenaan kerana pernah merasakannya walaupun tidak ketara dan selalu bersembang bersama rakan-rakan tentang PMS mereka. Boleh dikatakan setiap tahun, simptom baru akan muncul. 

Tetapi baru-baru ini, sesuatu yang mengejutkan berlaku. Saya tersedar saya sudah tercirit di dalam seluar setelah mencium bau yang busuk. Saya tidak merasa malu untuk berkongsi hal ini kerana saya tahu di luar sana ada wanita yang menghadapi kesukaran begini. Baru saya terfikir bahawa memang saya ada mempunyai masalah sembelit atau cirit-birit bila datangnya haid, tetapi tidak dapat membuat perkaitan. Inilah yang mereka panggil sebagai ‘period poop’, suatu istilah yang muncul ketika para wanita berkongsi sesama mereka simptom-simptom pelik yang mereka hadapi termasuk sebelit atau cirit-birit ketika datang haid. Ketika berkongsi dengan rakan-rakan perempuan saya di Whatsapp Group berkenaan simptom yang baru saya jumpa ini, seorang rakan saya menceritakan bahawa dia juga menghadapi cirit-birit ketika datang haid sehingga perlu memakai lampin dewasa kerana tidak larat ulang-alik ke tandas, dan tips itu dia dapati dari seorang kakak yang memakai lampin dewasa kerana sebab yang sama ketika mengandung.

Dan mengapa saya boleh tidak sedar saya sudah membuang di dalam seluar? Kerana saya tidak dapat membezakan pergerakan itu datang dari otot usus (bowel) atau otot rahim dan cecair yang keluar itu tidak dapat dibezakan datang dari belakang atau depan. Dan memang terjadi kes-kes seperti ini kerana otot usus itu turut terkesan dari pergerakan otot rahim dan seakan-akan saya sudah tidak mempunyai kawalan ke atas bahagian anus saya. Ketika saya membaca beberapa artikel di laman maya berkenaan period poop ini, air mata saya berjujuran kerana jujurnya saya merasa badan perempuan telah memberi beban kepada jiwa perempuan itu sendiri, dan tidak cukup dengan itu kerana ciri fizikal mereka yang begitu mereka telah dilemahkan dan diinjak-injak. Dan tentulah kesedihan itu datang kerana tidak ada siapa pernah memberitahu kita bahawa sistem reproduksi kita mempengaruhi hampir seluruh bahagian tubuh kita termasuk najis, kerana mungkin hal-hal haid ini terus di taboo kan sehingga malu untuk kita bicarakannnya di hadapan khalayak. Seperti saya katakan tadi, ini mungkin adalah pembalasan tuhan akibat fikiran saya yang sombong kepada teman-teman perempuan lain. Saya bersyukur tuhan menunjukkan jalan kepada saya, saya telah faham beban-beban yang perempuan tanggung dan setiap kali mengikuti atau menulis perihal perempuan, air mata saya tidak akan tertahan. 

Peduli Merah : Sehingga kini, berapakah anggaran kos yang sudah saudari dan pasangan belanjakan?

Sakinah Rosli : Melakukan ujian-ujian seperti yang saya sebutkan di atas dan dua kali rawatan Clomid di hospital swasta tersebut menelan belanja kira-kira RM1500. 

Peduli Merah : Boleh saudari kongsikan cara untuk mendapatkan rawatan kepada mereka yang mungkin mengalami masalah yang sama?

Sakinah Rosli : Pasangan boleh berbincang sama ada mereka mahu terus ke hospital swasta atau ke hospital kerajaan. Saya cadangkan pergi ke klinik kesihatan terlebih dahulu dan membuat pemeriksaan saringan bagi mendapatkan surat rujukan ke hospital. Sambil itu boleh juga melakukan ujian-ujian seperti ujian darah, ultrasound atau ujian lanjutan yang diperlukan di hospital swasta jika mahu mempercepatkan proses kerana keputusan ujian-ujian tersebut boleh dibawa kepada hospital kerajaan. Doktor di hospital kerajaan masih akan melakukan ujian dan analisis lanjutan yang mereka rasakan perlu dan seterusnya baru merujuk kita untuk mendapatkan rawatan kesuburan. 

Saya sendiri masih berada dalam perjalanan tersebut tetapi setidaknya hati saya merasa aman kerana saya tahu apa sebenarnya yang terjadi kepada badan saya. Langkah pertama untuk berjumpa doktor itu adalah bagi saya langkah yang sukar kerana kepala saya penuh dengan kecurigaan yang bukan-bukan selain memikirkan beban kewangan yang mungkin bakal ditanggung. Perjalanan ke hospital itu juga memakan duit dan waktu, maka wujud juga kos-kos tidak langsung yang perlu diambil kira ketika membuat rawatan. Tentulah ujian kepada kita berbeza-beza maka ayuh perkuatkan jiwa kita wahai pejuang garis dua, rahmat dan kasih sayang tuhan adalah untuk semua.  

Peduli Merah : Dalam banyak peristiwa klasik, ramai berpendapat bahawa perempuan selalu menjadi punca kepada kesusahan dalam mendapatkan zuriat. Apa pendapat saudari?

Sakinah Rosli : Saya ingin katakan dahulu bahawa pengalaman setiap orang berbeza. Dan saya sangat bersyukur, saya dikelilingi orang-orang yang penuh kasih sayang dan memahami lebih-lebih lagi suami di sisi saya, malah ketika saya masih tidak bersedia berjumpa doktor, dia menunggu hingga saya bersedia bersamanya. Saya telah berfikir, bahawa tanpa kesantunan dari orang sekeliling saya tentu saya akan jatuh ke dalam kelodak perasaan yang menjadikan saya tidak mesra seperti saya yang selalu. Ketika setiap ujian kesihatan menunjukkan petanda normal bagi saya dan suami, saya masih merasakan itu adalah kerana badan saya yang bermasalah. Mungkin sudah dipasakkan dalam diri kita begitu, hasil dari stigma-stigma tersebut. Ini bagi kes saya yang menunjukkan tanda normal bagi semua ujian, saya tidak dapat bercakap bagi pihak perempuan yang menghadapi kesukaran lain seperti endometriosis, PCOS, cyst dan masalah sistem reproduksi yang lain. 

Apa yang saya boleh katakan, sebagai sebuah masyarakat, adalah menjadi tanggungjawab kita menyediakan sebuah keadaan yang mesra kepada perempuan-perempuan yang bertarung dengan masalah sistem reproduksi mereka. Menghapuskan stigma negatif seperti itu akan membuka lebih banyak ruang untuk perempuan berkongsi kesukaran mereka, perkongsian ini akan meningkatkan lagi pemahaman tentang sistem reproduksi wanita seperti yang saya katakan semisal period poop tadi.

Saya merasakan lega secara pribadi, masyarakat kita sudah mulai bicara tentang rawatan kesuburan kerana figura-figura besar negara seperti Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah dan penyanyi tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah mengapungkan perkara berkenaan. Cuma perlu diingatkan bahawa kesukaran yang dihadapi setiap orang berbeza lagi-lagi jika datang dari latarbelakang sosio-ekonomi yang berbeza. 

Tubuh manusia mempunyai banyak perkara yang masih belum terungkap sepenuhnya walaupun dengan teknologi perubatan terkini, ambil contoh dalam garis panduan yang disertakan dalam kotak ubat Clomid ada menyebut ubat tersebut mungkin akan memberikan masalah penglihatan yang berpanjangan kepada pesakit tanpa sebab yang jelas (dan masih dalam kajian). Dan menghapuskan stigma-stigma buruk ini seperti saya katakan tadi sangat penting untuk memastikan perempuan malah lelaki untuk terus berkongsi dan hasil perkongsian ini akan dijadikan dapatan yang seterusnya membolehkan para saintis kita mengkaji dengan lebih lanjut. Malah ketika kita mula menyantuni pasangan yang masih tidak menimang cahaya mata, menghapuskan stigma karut, menghapuskan maskuliniti toksik dan keegoan kita sendiri, tentu lebih ramai para suami yang terbuka untuk memahami perihal tubuhnya sendiri yang berkemungkinan menjadi faktor kepada keadaan berkenaan. Tidak akan ada hasil yang bagus jika kita terus melekatkan perempuan yang sukar hamil dengan tekanan emosi hanya kerana dia tidak seperti perempuan lain, dan melekatkan stigma para lelaki yang mempunyai masalah sperma tidak berkualiti dan ejakulasi awal misalnya sebagai kurang kelakian. Kesukaran perempuan dan lelaki untuk menghasilkan anak tidak sekali-kali mengurangkan kemanusiaan mereka.

Peduli Merah : Apakah saran dan nasihat saudari kepada wanita lain berkaitan isu ini?

Sakinah Rosli : Saya telah bercerita bahawa mengapa saya tidak bersedia berjumpa doktor adalah kerana raksasa-raksasa yang saya wujudkan sendiri di dalam kepala akibat dari menonton TV atau sosial media, dan raksasa-raksasa tersebut terus hilang ketika berjumpa doktor. Tidak salah menonton TV atau baca dari laman maya, cumanya kita harus menguruskan ketakutan yang ada dalam diri kita. Adakah saya menyesal tidak berjumpa doktor lebih awal? Tidak juga, saya merasa aman dengan setiap keputusan saya kerana memang perjalanan ini memerlukan kita bersedia, dari segi kewangan tentulah sekali, tetapi juga jiwa kita.

Jika teman-teman perempuan di luar sana masih bertarung untuk hamil atau perasan kesihatan reproduksi teman-teman mungkin bermasalah, apa yang saya belajar dari pengalaman saya yang sedikit ini adalah tidak salah untuk merasa takut kerana ketakutan itu yang menjadikan kita manusia.

Emosi kita tentulah akan terkesan, maka jika kita mempunyai sistem sokongan seperti keluarga dan teman perempuan lain yang memahami, tentu sedikit sebanyak membantu malah ianya juga sebab untuk kita terus berjalan kehadapan, kerana sokongan perubatan mungkin boleh dicari tetapi sokongan jiwa memerlukan kasih sayang dan semangat setiakawan antara kita. Maka jika saudari-saudari mencari teman untuk berkongsi ketakutan, jika tidak datang dari kenalan rapat, maka saya dan teman-teman dari Peduli Merah menghulurkan tangan kami untuk bersama saudari dalam perjalanan kita yang panjang ini, kerana mungkin dalam perjalanan ini saya juga memerlukan saudari-saudari.

Oleh: Farahin W

Pewawancara Siri Suara Empuan Peduli Merah. Jika anda mempunyai pengalaman atau pandangan untuk dikongsikan, boleh hubungi pedulimerah@gmail.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: